Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan lima Garis Panduan Pengurusan dan Kesiapsiagaan Bencana bagi menangani insiden membabitkan bahan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata garis panduan itu bertujuan memastikan negara sentiasa bersedia dengan sebarang bentuk bencana, selain membina kapasiti dan keupayaan yang lebih baik bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan bencana.

“Objektifnya adalah untuk menyediakan negara supaya bersedia berdepan apa juga kemungkinan sama ada bencana seperti banjir, tanah runtuh dan pelbagai penyakit seperti leptospirosis(kencing tikus),”

“Tapi kita juga hendak tekankan bencana seperti bencana kimia dan penyakit berjangkit. Jadi kesemua ini adalah sangat mustahak untuk sebuah negara sentiasa dalam keadaaan siap siaga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Bencana Bersempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional Peringkat KKM Tahun 2024 dan Pelancaran Lima Garis Panduanx di sini hari ini.

Lima garis panduan yang dilancarkan adalah Pelan Pengurusan Bencana Peringkat KKM 2024, sebagai dasar dan mekanisme pengurusan bencana yang menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa, dan selepas sesuatu kejadian bencana.

Garis panduan kedua, Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Prosedur Operasi Standard 2024 sebagai bahan rujukan untuk kakitangan di CPRC atau Bilik Gerakan untuk menguruskan kejadian bencana, wabak, krisis dan kecemasan.

Ketiga ialah kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe) untuk Garis Panduan Pengurusan 2024 yang bertindak sebagai panduan langkah-langkah yang perlu diambil oleh petugas kesihatan dalam menangani insiden membabitkan lima bahan berkenaan.

Garis panduan keempat pula untuk Pasukan Penilaian Pantas (RAT) dan Pasukan Tindak Pantas (RRT) 2024 dalam situasi krisis kesihatan.

Garis panduan kelima ialah Garis Panduan Mobilisasi Sumber Manusia Semasa Kecemasan Kesihatan Awam 2024.

Garis panduan terakhir itu berfungsi sebagai prosedur mobilisasi sumber manusia di KKM untuk memastikan tindak balas pantas dan berkesan semasa kecemasan kesihatan awam.

“Penyediaan garis panduan yang komprehensif dan sistematik dalam pengurusan bencana adalah langkah penting untuk memastikan kesiapsiagaan, respons pantas, dan pemulihan yang berkesan semasa dan selepas kejadian bencana.

“Kelima-limanya sudah diuji dalam beberapa simulasi di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan rantau ASEAN serta ditambah baik dari semasa ke semasa melalui sesi ‘After Action Review’,” katanya.-BH Online