Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 yang akan dibentang oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat ini, tidak tidak akan meminggirkan masyarakat India.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, berkata masyarakat India akan menerima berita gembira dan penting menerusi pembentangan itu.

“Saya tidak risau langsung mengenai peruntukan bagi masyarakat India dalam Belanjawan 2025 kerana sepanjang tempoh lapan bulan kerajaan MADANI mentadbir, kita sudah menyerahkan RM136 juta khas untuk komuniti India.

“Tanpa restu Perdana Menteri, pastinya bantuan ini tidak dapat dinikmati oleh masyarakat India. Saya yakin Belanjawan 2025 akan membawa berita gembira untuk semua, khususnya apabila kerajaan berjaya mengurangkan hutang negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan Deepavali Vanakam Madani di sini, malam ini.

Mengenai bantuan itu, Ramanan berkata, sejumlah 10,300 masyarakat India daripada kumpulan B40 di seluruh negara akan menerima bakul makanan sempena Deepavali yang disambut hujung bulan ini.

Beliau sudah mengarahkan semua pihak di seluruh negara mengesan rakyat India dalam kumpulan B40 bagi memastikan mereka diberi bantuan.

“Kita mulakan di Sungai Buloh sebelum digerakkan ke seluruh negara.

“Bantuan diberi kepada rakyat B40 untuk meringankan bebanan dalam menyambut perayaan ini,” katanya.-BH Online