KUALA LUMPUR: Tiada sebarang pelanggaran terhadap mana-mana peraturan negara termasuk bagi urusan diplomatik susulan kunjungan kapal tentera dari Chinake Pelabuhan Pulau Pinang baru-baru ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kunjungan kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, China itu turut mendapat kebenaran Kementerian Pertahanan.
“Permohonan diplomatik dari kedutaan China jelas ada, yang memohon perkara berkenaan, untuk membuat lawatan ke sekolah yang berunsurkan dan berlatar belakang Konfusianisme dan lain-lain.
“Ini ada diuruskan oleh pihak keselamatan dan yang lain itu kita harap kalau ada apa-apa pelanggaran daripada pihak mereka, akan disiasat.
“Tapi setakat ini, memang jelas apa yang dimohon dalam permohonan diplomatik tersebut, ia tidak melanggar apa-apa peraturan negara kita,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad berkata, acara meriah bagi menyambut ketibaannya sebelum ini adalah bersempena meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China.
Sebelum ini, Pengerusi Biro Antarabangsa BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, sambutan meriah terhadap dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang itu disifatkan ‘tidak masuk akal’.
Saifuddin dilaporkan berkata, ia adalah kerana terdapat dakwaan perairan Malaysia iaitu di Sabah dan Sarawak dicerobohi aset republik berkenaan.
Menjawab soalan asal berkaitan konflik di Laut Cina Selatan daripada Datuk Andy Muhammad Suryandy Bandi (BN-Kalabakan), beliau maklumkan ketegangan ini berlaku adalah di luar kawasan maritim Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia pada tahun 1979.
“Di dalam konteks pengendalian isu Laut China Selatan, saya ingin menegaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama dalam setiap tindakan yang diambil.
“Isu berkaitan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif. Setiap tindakan yang diambil oleh Kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif tanpa mengenepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.
Buat masa ini katanya, ASEAN dan China sedang merundingkan dokumen Awal Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan sebagai satu kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan.
“Ianya adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing. Rundingan COC dilaksanakan oleh ASEAN dan China menerusi platform, ASEAN- China Joint Working Group on the Implementation of the DOC (JWG- DOC),” katanya.
Katanya, Malaysia juga sedang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China untuk tempoh tiga tahun dari Ogos 2024 hingga Julai 2027.
“Sebagai negara penyelaras, antara peranan Malaysia adalah sebagai pengerusi bersama dengan China dalam merunding draf COC. Malaysia beriltizam memastikan kod tatalaku ini, jika dipersetujui, akan menjadi satu dokumen efektif dan substantif bagi menangani isu berkaitan Laut China Selatan.
“Malaysia akan sentiasa memastikan bahawa COC yang dirundingkan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.-BH Online