Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kedaulatan sistem kehakiman tetap menjadi keutamaan, malah kerajaan komited memastikan badan kehakiman bebas menegakkan dan mentadbir keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kebebasan kehakiman tetap tertakluk di bawah doktrin pengasingan kuasa iaitu prinsip yang termaktub di bawah struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

“Pada masa lalu, sejarah menyaksikan bagaimana prinsip suci itu dicabuli kuasa yang ada berikutan ada pihak tidak jujur menyalahgunakan kedudukan mereka memesongkan keadilan bagi mencapai tujuan politik yang jahat dan keji.

“Tetapi izinkan saya dengan tegas mengisytiharkan cukuplah perkara itu dan era itu sudah berlalu. Kita tidak akan membenarkan penyalahgunaan dan pencabulan undang-undang seperti itu berulang lagi,” katanya berucap merasmikan Persidangan LAWASIA ke-37 di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden LAWASIA (India), Shyam Divan; Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.-BH Online