Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan RM300,000 kepada koperasi komuniti India yang hadir dalam Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI) 2024, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramkrishnan, berkata inisiatif ini adalah hasil kerjasama antara KUSKOP dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Peruntukan khas ini adalah untuk koperasi-koperasi komuniti India yang layak dan telah hadir pada persidangan hari ini sahaja.

“Dana ini bertujuan untuk memperkasa aktiviti ekonomi koperasi. Dengan adanya PKKI 2024 pada hari ini, saya yakin ia dapat menaikkan semangat koperator serta meningkatkan keupayaan koperasi untuk memberi manfaat kepada anggota,” katanya ketika merasmikan persidangan ini di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.

Katanya lagi, nilai tertinggi yang boleh diperoleh oleh sebuah koperasi adalah RM30,000, dan permohonan akan diteliti mengikut keperluan.

Beliau turut berharap lebih banyak koperasi komuniti India diwujudkan, meliputi koperasi kredit, koperasi agro, dan koperasi sekuriti makanan.

“SKM banyak menjalankan jualan MADANI tetapi tiada koperasi India yang terlibat. Saya harap koperasi seperti ini akan ditubuhkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan Tabung Modal Pusingan bernilai lebih RM7 juta kepada tiga koperasi terbaik.

Antaranya adalah Koperasi Serbaguna Kebangsaan Berhad, Koperasi Guru-Guru Tamil Negeri Sembilan Berhad, dan Koperasi Nesa Pelbagai Berhad.

Sehingga 31 Disember lalu, terdapat 419 buah koperasi komuniti India dengan keanggotaan seramai 249,599 orang.

Dari segi modal syer pula, ia membabitkan RM619 juta dengan penjanaan aset mencecah RM1.7 bilion, serta sumbangan perolehan sebanyak RM334 juta.

“Harapan saya adalah untuk melihat lebih banyak koperasi komuniti India dapat meningkatkan prestasi dan pencapaian sehingga berjaya tersenarai dalam 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada masa akan datang.

“Saya menyeru semua wakil koperasi mementingkan amalan tata kelola yang baik, sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berhemah serta memastikan nilai, falsafah, dan prinsip koperasi menjadi pegangan dalam memberi khidmat dan manfaat terbaik kepada anggota dan masyarakat,” katanya.-BH Online