Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

VIENTIANE: Malaysia hari ini mengulangi kesediaan untuk meneruskan momentum dan dasar sedia ada Thailand yang ditetapkan di bawah pentadbiran negara itu sebelum ini.

Ia termasuk hal berkaitan kesalinghubungan dan jalinan antara rakyat.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakan sejawatnya, Paetongtarn Shinawatra dalam pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di sini. 

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu julung kali berlangsung selepas Paetongtarn dilantik sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada Thailand atas bencana banjir yang melanda utara, timur laut dan tengah negara itu, baru-baru ini, yang menjejaskan lebih 66,000 keluarga. 

Paetongtarn dilantik menggantikan Srettha Thavisin selepas Srettha dilucutkan jawatan pada 14 Ogos lalu, selepas melanggar peraturan etika dengan melantik seorang peguam yang menjalani hukuman penjara ke dalam Kabinetnya. 

Sementara itu, dalam pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, Malaysia menyatakan permohonan untuk pengecualian keperluan visa secara timbal balik dengan negara itu. 

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia turut berharap perjanjian persefahaman (MoU)

mengenai Kerjasama Pertahanan dapat dimuktamadkan secepat mungkin. 

Malaysia juga, katanya mengalu-alukan penubuhan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber BlackBerry (CCoE), yang mampu memperkukuh kerjasama dalam keselamatan siber.-BH Online