Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

VIENTIANE: Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) menggunakan pengaruhnya untuk melaksanakan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2735 (2024) dengan segera bagi menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin. 

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ke-12 di sini, semalam. 

Perdana Menteri juga menyatakan penghargaan kepada peranan utama yang dimainkan AS dalam resolusi itu. 

Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 (2023) menggariskan cadangan tiga fasa oleh AS, yang menggesa kepada gencatan senjata segera, kekal dan berkesan.

Ia termasuk pembebasan tebusan, pertukaran tahanan warga Palestin dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, selain menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan, serta pembinaan semula wilayah itu. 

Selain itu, Perdana Menteri turut mengalu-alukan cadangan pelaburan sebanyak AS$14.7 bilion (RM63.08 bilion) oleh gergasi teknologi AS ke Malaysia dan berharap dapat memperkukuh kerjasama dalam industri yang sedang berkembang. 

Syarikat gergasi membabitkan Google, Microsoft, Enovix Corporation, Amazon Web Services, Abbott Laboratories dan Boeing. 

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan delegasi AS ke Dialog Pegawai Kanan berikutnya di Putrajaya pada akhir Oktober ini, sempena sambutan ulang tahun ke-10 Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata semua negara ASEAN membangkitkan mengenai isu Gaza pada sidang kemuncak itu dan menggesa kekejaman serta pembunuhan rakyat Palestin dihentikan. 

Beliau dan Perdana Menteri juga bertanya kepada pihak Blinken mengenai bila masalah dan pembunuhan rakyat Palestin, yang kini sudah merebak ke Lubnan boleh diredakan serta dihentikan. 

“Bagaimanapun nampaknya, tiada jawapan konkrit yang boleh diberikan pihak Blinken dan beliau mengatakan semua pihak, termasuk AS mahu melihat peperangan ini tidak merebak dan dihentikan segera. 

“Kita tahulah Israel yang begitu angkuh dan tidak mahu dengar cakap sesiapa, dan kita harap negara sekutu mereka yang membekalkan senjata kepada mereka ini sekarang fahamlah sifat sebenar orang Israel ini. 

“Jadi, mereka yang membesarkan raksasa dan mereka harus mengawal raksasa mereka ini,” katanya.-BH Online