Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG, 7 Oktober- Kuota peserta Program Latihan TVET Belia Malaysia-China (MCYTT) dijangka terus bertambah tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia hasil hubungan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kepimpinan tertinggi China.

“Malaysia merupakan negara ASEAN pertama yang membuka kedutaan serta menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Pihak China sangat menghargai Malaysia, dan itulah sebabnya negara kita, Malaysia, adalah antara negara yang paling rapat dengan China di ASEAN.

“Apa yang penting sekarang ialah bagaimana kita menghargai komitmen kerajaan China melalui 225 institusi ini untuk pelajar-pelajar kita. Saya yakin hubungan baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Presiden China (Xi Jinping) dan Perdana Menteri China, Li Qiang akan membawa kepada peningkatan peluang, termasuk penghantaran lebih ramai pelajar kita dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tahun hadapan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Pelepasan Peserta MCYTT di sini.

Jelasnya, kerajaan China telah menawarkan sebanyak 3,125 tempat di 225 institusi TVET di negara tersebut.

Peserta program akan menjalani latihan jangka pendek, sederhana, dan panjang dalam pelbagai bidang, antaranya teknologi kenderaan elektrik, solar, kecerdasan buatan (AI), dan keselamatan siber.

Setakat ini, seramai 1,776 bakat TVET tempatan telah menjalani latihan di China menerusi program berkenaan.

Dalam pada itu, penghantaran 200 pelajar berkemahiran ke China bakal memperkasa bakat tempatan, selain memperluas potensi ekonomi.

Pengerusi Lembaga Penasihat MCYTT, merangkap ahli Majlis TVET Negara, Manndzri Nasib yakin pengalaman dan latihan berteknologi tinggi di China itu akan membawa kejayaan besar.

“Belia mahir bersama dengan Malaysia-China Institute (MCI) menyelaraskan penghantaran pelajar ini. Setakat ini, kita telah menghantar 1,775 orang dan ini merupakan penghantaran ke-51.

“Penghantaran ini adalah yang terbesar. Biasanya kita hantar 70 atau 50 pelajar, tapi kali ini 200. Kita meminta Datuk Seri (Ahmad Zahid) sendiri melihat bagaimana pengalaman dari lawatan 10 hari ke Beijing amat dihargai dan diperlukan oleh bakat-bakat muda kita,” katanya.

Bagi pelajar pula, ini merupakan peluang terbaik untuk menimba ilmu dan meningkatkan potensi diri.

“Sekarang saya mengambil bidang multimedia interaktif, dan bila saya ke China, saya akan belajar tentang AI. Saya harapkan bila balik nanti, saya akan mendapat lebih banyak pengetahuan dan lebih mahir dalam kemahiran teknologi zaman sekarang,” pelajar, Nurdania Alisya.

“Sekarang saya bekerja dalam bidang automotif, Toyota. Saya harap dapat melangkah ke peringkat seterusnya untuk belajar lebih lanjut dalam bidang ini,” kata pelajar, Mathyvannan Madialagan.

“Saya sudah membuat persiapan untuk ke China. Saya telah memuat turun aplikasi D room, Adobe Photoshop, dan Adobe Premiere Pro. Saya akan menggunakan aplikasi ini untuk mengulang kaji mengenai AI apabila sampai ke sana,” kata pelajar, Imran Putra.-Berita RTM