Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

VIENTIANE: Malaysia akan memberi tumpuan untuk memperkukuh kerjasama ekonomi di ASEAN selain merangsang perdagangan dan pelaburan serantau pada Sidang Kemuncak ASEAN-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula di Laos, esok.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pada masa sama, fokus Malaysia turut membabitkan usaha mencari penyelesaian bagi menangani cabaran serantau.

“Alhamdulillah, saya telah selamat tiba di sini (lewat malam tadi) untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-24 dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45.

“Seperti lazimnya, saya dan pasukan kementerian #TeamMITI telah mengadakan mesyuarat pra majlis bagi memastikan semua agenda penting dapat diselaras dengan lancar,” katanya menerusi catatan di laman X, hari ini.

Sidang kemuncak berkenaan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di ibu negara Laos dari 8-11 Oktober, 2024.

Lebih 2,000 delegasi dijangka menghadiri sidang kemuncak itu yang terdiri daripada pemimpin negara dan kerajaan dari kalangan negara anggota ASEAN, rakan dialog serta rakan luar termasuk wakil organisasi serantau dan antarabangsa.

Mesyuarat Menteri Luar ASEAN akan secara rasmi bermula menerusi sidang kemuncak pada 8 Oktober dan disusuli dengan majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan pada hari berikutnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai delegasi negara, dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia pada sidang kemuncak itu.

Pada 11 Oktober, Laos akan secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia. – BERNAMA