KUALA LUMPUR: Lebih banyak pembaikan kepada struktur ekonomi akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2025, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ini untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dapat dikongsi dengan rakyat terbanyak secara saksama.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan 2025 adalah kesinambungan kepada ikhtiar kerajaan supaya Malaysia dapat menggapai wawasan kerangka Ekonomi MADANI.
“Yakni melonjakkan pertumbuhan negara dan sekali gus menjunjung prinsip manusiawi untuk mengangkat darjat rakyat terbanyak,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Katanya, beliau sudah menandatangani dokumen rasmi Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.
“Saya mengucapkan penghargaan kepada semua tenaga kerja yang telah bertungkus-lumus untuk merangka Belanjawan 2025,” katanya.
Belanjawan 2025 dijadual dibentang Anwar di Dewan Rakyat pada 18 Oktober depan.
Sidang Parlimen akan bermula pada Isnin depan dengan pembentangan beberapa usul oleh kerajaan termasuk bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 dijadual pada Rabu.
Anwar sebelum ini berkata, isu inflasi dan kos sara hidup juga antara yang akan diberi penekanan dalam Belanjawan 2025, selain penyasaran subsidi.-BH Online