Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan untuk mencapai sejuta pencarum dalam kategori Orang Bekerja Sendiri (OBS), menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, Roshaimi Mat Rosely, berkata seramai 693,969 individu telah berdaftar sebagai pencarum aktif OBS di seluruh negara, setakat 27 September lalu.

“Jumlah itu menunjukkan trend peningkatan pencarum baharu yang semakin memberangsangkan,” katanya kepada media pada Majlis Libat Urus dan Jalinan Mesra PERKESO Bersama Media Negeri Sembilan, di sini, malam tadi.

Roshaimi berkata, pencarum OBS dijangka terus meningkat, terutama dengan pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk penjaja serta peniaga berlesen mulai 1 Januari tahun depan.

Katanya, sesi libat urus dengan semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara, diadakan sepanjang tahun ini bagi meningkatkan kesedaran mereka yang bekerja sendiri, termasuk peniaga serta penjaja, berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya juga giat meneruskan promosi kepada OBS, termasuk pengamal media sambilan, bagi meningkatkan kesedaran mencarum dengan PERKESO.

Katanya, pelbagai inisiatif dapat dimanfaatkan, terutama oleh golongan bekerja sendiri, dengan perlindungan keselamatan sosial jangka panjang yang bersifat komprehensif. – BERNAMA