Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUNGAI PETANI: Keperluan tenaga boleh baharu (RE) di negara ini semakin meningkat seiring keyakinan pelabur asing khususnya untuk mewujudkan pusat data.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata situasi berkenaan memberi cabaran kepada kerajaan dalam memastikan permintaan itu dapat disediakan, selain keperluan bekalan air untuk pelabur.

“Sekarang ini di Johor sahaja permintaan tenaga boleh baharu lebih kurang 8,000 megawatt, begitu juga bekalan air untuk menyejukkan pusat data.null

“Maknanya kalau kita tidak bersedia, maka pelabur tidak akan datang. Sebab itu kita kena cari jalan bagaimana kita nak pastikan kita dapat membekalkan tenaga yang diperlukan oleh pelabur-pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Jalinan Perpaduan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Badan Bukan Kerajaan Siam dan Ketua-Ketua Agensi di sini malam ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata keadaan itu memerlukan rakyat khususnya golongan pekerja untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pelabur.

Beliau berkata, dalam hal itu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja tempatan sesuai dengan keperluan semasa.

“Inilah yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kita. Sebab itu TVET diberi tumpuan untuk kita latih, sekarang ini di bawah (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi tumpuan bagaimana kita nak pastikan TVET ini disebarluaskan,” katanya.

Fadillah berkata, tanggungjawab memastikan rakyat Malaysia dilengkapkan dengan ilmu kemahiran baharu harus digalas semua pihak supaya ia dapat direalisasikan.

Turut hadir pada majlis itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan ADUN Sidam, Bau Wong Bau Ek.-BH Online