Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan dakwaan mengaitkan guru sebagai kumpulan penjawat awam paling ramai terbabit salah laku memalsukan sijil cuti sakit (MC) sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Menegaskan dakwaan itu mencetuskan persepsi negatif terhadap profesion keguruan, beliau berkata, isu terbabit tidak sepatutnya berbangkit kerana tatakelola penjawat awam sentiasa diberi perhatian demi memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Tambahnya, Kementerian Pelajaran (KPM) mengambil serius laporan sebuah akhbar baru-baru ini mengenai dakwaan berkenaan. 

“Pada waktu ini terdapat lebih 400,000 guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar awal minggu ini yang memetik kenyataan CUEPACS bahawa guru kumpulan penjawat awam paling ramai memalsukan MC, selain ada dikesan sengaja memohon cuti kecemasan (EL) untuk kepentingan peribadi.

CUEPACS dilaporkan berkata, setiap tahun, kira-kira satu hingga dua peratus daripada 10,000 penjawat awam dikenal pasti memberi MC palsu, selain sengaja menggunakan cuti kecemasan semata-mata mahu melanjutkan tempoh bercuti.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM juga mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat, selain pemantauan berterusan di setiap peringkat.

“Penjawat awam yang terbabit dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan. Kementerian melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara kesejahteraan warga pendidik termasuk menerusi tujuh langkah bagi menangani beban tugas guru.

“KPM turut tekad untuk terus memartabatkan profesion keguruan. Profesionalisme guru mendidik anak bangsa perlu disanjung tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya. 

Terdahulu pada Selasa lalu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) turut menyifatkan dakwaan CUEPACS itu tanpa disertakan data sahih dan bukti kukuh, sebagai sangat tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agungnya, Fouzi Singon, berkata ia secara langsung mempertikai profesionalisme 450,000 guru yang sangat cemerlang menjalankan tugas mendidik anak bangsa.

Dakwaan itu juga, katanya, secara tidak langsung mempertikai tahap profesionalisme serta etika kerja pegawai perubatan yang komited menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.-BH Online