PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasar untuk mengurangkan prevalen penggunaan tembakau konvensional kepada 15 peratus dan ke bawah menjelang Disember tahun depan susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata penguatkuasaan Akta 852 yang lebih menyeluruh berupaya membantu mencapai sasaran itu, berbanding 19 peratus yang direkodkan pada Tinjauan Tembakau Dewasa Global (GATS) Malaysia 2023.
“Walaupun prevalen penggunaan tembakau berkurangan daripada 21.3 peratus kepada 19 peratus, terdapat peralihan daripada merokok konvensional kepada penggunaan vape.
“Sekarang, kita tinggal empat peratus untuk mencapai sasaran terbabit. Saya berharap kita dapat mencapai menjelang Disember 2025 untuk (mendapat angka) 15 peratus atau kurang,” katanya pada sesi taklimat media berkaitan Akta 852, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.
Ditanya berhubung rokok elektronik termasuk vape pula, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya akan menentukan sasaran prevalen produk berkenaan supaya KKM dapat menangani isu terbabit dengan lebih berkesan.
“Buat masa ini, prevalen membabitkan vape ialah pada 5.8 peratus, justeru kita hanya dapat menentukan sasarannya apabila perhatikan pelaksanaan (Akta 852) supaya dapat mencapai sasaran lebih realistik,” katanya.
Pada Mei lalu, Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, terdapat peningkatan ketara sebanyak 600 peratus terhadap penggunaan rokok elektronik di negara ini apabila 5.8 peratus pengguna dikenal pasti pada 2023 berbanding 0.8 peratus pada 2011.
Data itu didedahkan dalam GATS 2023, iaitu tinjauan isi rumah peringkat kebangsaan yang turut dijalankan di lebih 30 negara berpendapatan rendah dan sederhana yang dibebani penggunaan tinggi tembakau.
Perbandingan data itu dibuat antara 2011 dengan 2023 membabitkan selang masa 12 tahun.-BH Online