Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Tiada keperluan memansuhkan minggu orientasi di universiti awam (UA) yang dilaksana bagi memastikan penuntut baharu dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata mungkin ada isu di universiti tertentu, tetapi ia tidak boleh digunakan sebagai alasan mendakwa minggu orientasi sudah tidak sesuai.

“Janganlah kita melihat satu pandangan, terus kata seolah-olah orientasi ini sudah tak sesuai. Mungkin ada satu dua tempat sahaja ada masalah. 

“Orientasi itu seharusnya menjadi program untuk menyesuaikan diri pelajar baharu yang datang ke sebuah universiti, kolej dan sebagainya bagi tempoh yang panjang, mungkin ada yang empat tahun, ada tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2024, di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular video memaparkan situasi minggu orientasi di sebuah UA di Johor apabila beberapa individu bertengkar, sebelum ia bertukar menjadi satu kejutan atau prank untuk menyambut hari jadi seorang fasilitator.

Susulan itu, ramai pihak berpandangan pengisian minggu orientasi terbabit seolah-olah berlebihan dan tidak seharusnya berlaku.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pendekatan baharu termasuk dari segi pengisian minggu orientasi yang lebih bersesuaian perlu dilaksanakan.

“Pengisiannya penting sebagai proses sosialisasi untuk pelajar mengenali antara satu sama lain, kedua ialah untuk penyesuaian diri mereka dengan tempat berkenaan dan ketiga, dari segi membina tradisi penting,” katanya.

Katanya, pihak kementerian sudah memaklumkan kepada pengurusan UA dikaitkan dengan video prankyang tular di media sosial itu dan meminta perkara terbabit tidak berulang.-BH Online