KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 berada dalam keadaan selamat susulan situasi tegang di Selatan Lubnan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan memaklumkan tiada sebarang kemalangan jiwa dan kerosakan aset dilaporkan berlaku.
“Semua anggota keselamatan bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) telah diarahkan untuk tidak menghentikan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing. Setelah mengambil kira keselamatan petugas, Markas UNIFIl telah mengaktifkan perlindungan dalam kubu mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal,” katanya.
Khaled berkata, sebarang perancangan penarikan balik pegawai dan anggota MALBATT 850-11 adalah tertakluk kepada kelulusan UNIFIL berdasarkan tahap keselamatan dan ancaman kawasan operasi.
Kementeriannya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan sentiasa memantau situasi semasa dan mengemas kini sebarang perkembangan yang melibatkan MALBATT 850-11.
Sejak 23 September lepas tentera Israel telah melancarkan serangan udara intensif yang belum pernah berlaku ke atas Lubnan.
Sejak 8 Oktober 2023, Hizbullah dan tentera Israel saling berbalas serangan di sempadan Lubnan-Israel di tengah-tengah kebimbangan konflik lebih meluas ketika konflik antara Hamas dan Israel berterusan di Semenanjung Gaza.-Berita RTM