Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISLAMABAD: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, dijadual mengadakan rundingan hari ini, bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang serta mengeratkan persahabatan yang terjalin selama 67 tahun, lapor Associated Press of Pakistan (APP).

Anwar bersama delegasi merangkumi menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan, tiba di Islamabad semalam, untuk lawatan tiga hari bagi bertemu kepemimpinan Pakistan.

Pertemuan bertujuan membincangkan agenda komprehensif untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, kesalinghubungan, tenaga, pertanian, industri halal, pelancongan, pertukaran budaya dan hubungan antara rakyat.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif yang menyambut ketibaan Anwar di lapangan terbang, menyatakan beliau menantikan perbincangan yang bermakna untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

“Kunjungan anda menggariskan komitmen bersama terhadap keamanan, kemakmuran dan pembangunan serantau. Bersama-sama, mari kita membina masa depan yang lebih cerah untuk Pakistan dan Malaysia,” kata Shehbaz di platform X.

Terdahulu, Anwar turut berkongsi di akaun X mengenai ketibaannya di Islamabad untuk lawatan negara sehingga Jumaat, bertujuan mengeratkan persahabatan 67 tahun antara Malaysia dan Pakistan.

“Usai tiba, saya dan delegasi disambut rakan sejawat Shehbaz Sharif dan peluang itu digunakan bagi menyatakan penghargaan atas jemputan yang akan membuka lembaran baharu hubungan diplomatik kedua-dua negara selain mewujudkan agenda kerjasama pelbagai sektor di masa hadapan.

“Moga segala yang diatur pada lawatan ini akan berjalan lancar dan memberi peluang kedua-dua negara untuk turut membincangkan isu serantau dan antarabangsa,” kata Anwar di platform X. – BERNAMA-APP