Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM5.5 juta bagi penambahbaikan infrastruktur Pasar Siti Khadijah di sini.

Perdana Menteri berkata, kos berkenaan bagi projek membabitkan aspek kebersihan, tandas, baik pulih bumbung dan sistem pendawaian.

Katanya, peruntukan itu menjadikan keseluruhan RM7 juta yang sudah diluluskan Kerajaan Pusat sejak tahun lalu.

“Pada November tahun lalu, kita sudah luluskan peruntukan RM500,000 untuk baik pulih bumbung dan RM1 juta pada tahun ini untuk proses mengecat serta baik pulih struktur konkrit yang merekah.

“Disebabkan masih ada proses yang perlu dilakukan termasuk sistem pendawaian yang perlu ditukar, hari ini kita mengumumkan peruntukan tambahan RM5.5 juta pula menjadikan keseluruhan RM7 juta untuk Pasar Besar Siti Khadijah,” katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Peniaga Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Anwar berkata, beliau turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memantau serta menyegerakan projek berkenaan.

“Jika projek ini perlu ditender sekali pun, ia mesti dilakukan dengan cepat. Ini kerana Pasar Siti Khadijah menjadi tumpuan orang ramai dan terdapat seramai 1,500 peniaga. Apa yang kita usahakan ini demi mengenangkan ribuan peniaga di sini,” katanya.-BH Online