PUTRAJAYA, 30 September – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) hari ini melancarkan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0) sebagai persediaan untuk Persidangan ke-29 Negara Ahli Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFCCC-COP 29).
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata DPIN 2.0 lebih praktikal dalam peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon serta mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
“Matlamat dasar ini adalah untuk membawa negara ke arah ekonomi rendah karbon dan pembangunan berdaya tahan iklim. Ia memenuhi komitmen Perjanjian Paris 2015. DPIN 1.0 lebih fokus pada mengarusperdanakan isu perubahan iklim, manakala DPIN 2.0 lebih kepada pelaksanaan.
“Diharapkan DPIN 2.0 dapat memberikan hala tuju jelas kepada pemegang taruh bagi memacu agenda perubahan iklim negara ke arah pelepasan sifar bersih 2050,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Perubahan Iklim 2024, di sini.
Tambahnya, DPIN 2.0 juga menjadi asas kepada pembangunan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang dijangka siap pada tahun depan.
Nik Nazmi turut menyatakan bahawa kerjasama ASEAN mampu membantu Malaysia menghadapi cabaran perubahan iklim, menjadikan negara ini sebagai penyumbang ekonomi utama.
“Jika kita bergabung, kita akan menjadi kekuatan ekonomi dan berpotensi berada dalam lima terbesar dunia. Malaysia mungkin terlalu kecil untuk melakukannya sendiri, tetapi dengan kerjasama serantau, perkara ini boleh dicapai,” tambahnya.-Berita RTM