Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi bayangan kerajaan mungkin menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak golongan kaya di sekolah awam terbaik negara.

Menyifatkan tindakan membiarkan ketirisan subsidi besar seperti itu berterusan sebagai tindakan tidak adil, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, menegaskan, dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan miskin.

Tegas Anwar, kerajaan mahu bersikap adil dalam mengagihkan bantuan dengan mengutamakan kumpulan memerlukan seperti golongan rentan.

Kepada khalayak Simposium Kebangsaan Menoktah Kemiskinan 2024 yang dirasmikannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini, Perdana Menteri bertanya, bagaimana mahu melaksanakan langkah berkenaan.

“Bagaimana harus kita lakukan? Hasil ini (daripada ketirisan subsidi) boleh digunakan untuk membantu menambah (dana) kepada rakyat yang miskin,” tegasnya. 

Perdana Menteri melihat wujud keadaan tidak adil apabila ada anak penjawat awam dengan pangkat kanan, pemimpin politik dan pengusaha terkenal dihantar ke sekolah terbaik dibiayai kerajaan.

“Sekadar yang saya dapat faham, majoriti memberi manfaat kepada golongan yang elit. Orang kanan penjawat awam, pimpinan politik, pengusaha-pengusaha terkenal.

“Itu semua (anak) dihantar sekolah-sekolah terbaik yang dibiayai oleh kerajaan dengan kadar yang tinggi yang sebenarnya meletakkan kita dalam keadaan paling tidak munasabah, tidak adil,” tegasnya.

Keadaan itu, katanya, tidak menggambarkan peratusan anak miskin ke pusat pendidikan terbaik dibantu kerajaan seperti sekolah menengah sains dan Maktab Rendah Sains MARA.

“Bentuk ketirisan ini, termasuk anak-anak golongan paling kaya ke sekolah-sekolah menengah sains yang dibantu dan disubsidi tinggi oleh kerajaan, harus dihentikan. 

“Ini saya hanya berikan hebahan awal sebelum umum belanjawan (2025) bulan depan,” katanya sambil memberi contoh anak orang kaya yang dihantar ke fakulti kejuruteraan sepatutnya membiayai sendiri kos pengajian.

“Sepatutnya, kalau anak orang kaya itu dihantar ke fakulti kejuruteraan, Melayu atau Cina atau Iban, dia kena bayarlah. Jadi dengan cara itu, kita boleh menampung kekurangan. Kalau tidak, subsidi seperti ini berterusan.

Anwar berkata, adakalanya subsidi besar yang dimanfaatkan golongan kaya sering disebut sebagai ‘insentif’, biarpun hakikatnya ia adalah subsidi kerajaan.

“Subsidi besar untuk golongan itu selalunya tidak dihebahkan. Disebut ‘insentif’ untuk kaya, tapi untuk orang miskin (disebut) subsidi. Ratusan juta (ringgit) disakau dipanggil komisen, untuk yang di bawah ini dipanggil korupsi,” katanya. 

Sementara itu, Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan akan terus meletakkan tumpuan dan keutamaan kepada usaha membasmi kemiskinan, termasuk menerusi lima Ikhtiar Kerajaan Menoktahkan Kemiskinan. 

Lima ikhtiar itu adalah menyepadukan data, selain memantapkan pengukuran kemiskinan yang lebih bermakna berdasarkan konsep Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) sebagai asas mengenal pasti kumpulan sasar untuk diberi bantuan. 

Tiga ikhtiar lain adalah mereformasi dana; merubah sikap dan pemikiran serta memperkukuh tenggang.

“Saya lihat (lima ikhtiar itu) agak baik. Saya harap diedarkan lima ikhtiar itu dan dijadikan bahan perbicangan untuk dapatkan lontaran idea mengenai masalah kemiskinan ini. 

“Saya hanya boleh beri jaminan, Jemaah Menteri akan ambil kira pandangan ini paling serius,” katanya menyarankan diskusi ilmiah usaha menoktahkan kemiskinan wajar diperbanyakkan supaya isu itu terus jadi tumpuan semua pihak. 

Katanya, inisiatif dilaksanakan Kementerian Ekonomi menyemarakkan lagi perbahasan dan kesedaran mengenai isu penting itu dalam keadaan negara memacu pertumbuhan dan membicarakan kekuatan ekonomi serta ringgit.

“Kadang-kadang kita alpa maksud pembangunan negara itu harus melibatkan seluruh rakyat. Rakyat yang ketinggalan itu kerana tidak mempunyai peluang.

“Saya banyak hadir kegiatan dan seminar, simposium ekonomi, bicara soal ekonomi, termasuk ekonomi Bumiputera, tapi perbicaraan serius permasalahan rakyat miskin itu sedikit sekali.

“Sebab itu, ada kewajaran kepada kementerian (Kementerian Ekonomi) fokus hanya soal kemiskinan. Kebetulan dalam kategori kita, segera (diselesaikan) kemiskinan tegar, kemudian dibincang soal kemiskinan menyeluruh yang dianggap relatif,” katanya.-BH Online