Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR SETAR: Banjir yang melanda kawasan jelapang padi seluas kira-kira 6,000 hektar di Kedah dan Perlis, dianggar menyebabkan kerugian mencecah RM40 juta kepada pesawah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kerajaan menyediakan bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi mengurangkan beban kerugian ditanggung pesawah.

Katanya, kadar bantuan bergantung kepada usia padi dengan anggaran nilai antara RM876 hingga RM1,800 setiap hektar manakala pesawah layak memohon keluasan maksimum tiga hektar.

“Banjir tahun ini di luar jangka, pesawah yang biasa dengan keadaan cuaca selalunya mengatakan banjir berlaku pada Oktober.

“Kali ini berlaku pertengahan September menyebabkan padi yang sedang masak habis tenggelam.

“Saya lihat sendiri kerosakan itu dan ada sesetengah sawah yang ‘total lost’ (musnah sepenuhnya),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan sempena program Sentuhan MADANI di sini, hari ini.

Mohamad berkata, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menganggarkan kerugian setakat ini mencecah RM40 juta membabitkan kira-kira 1,500 pesawah.

Bersimpati dengan nasib pesawah terjejas, beliau berkata, kerajaan akan menyalurkan bantuan TBTP secepat mungkin bagi meringankan beban pesawah yang kerugian akibat kehilangan hasil padi.

Mengenai kemungkinan negara mengalami kekurangan bekalan beras akibat banjir yang melanda, Mohamad berkata, perancangan jangka panjang perlu dibuat dengan membuka jelapang padi baharu di Sabah dan Sarawak.

Bagi tempoh jangka pendek, katanya, kerajaan akan berusaha meningkatkan infrastruktur tanaman padi di luar kawasan rancangan bagi membolehkan pengeluaran beras dipertingkat secepat mungkin.

“Apabila sawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dilanda banjir besar dua kali pada 2021 dan 2022, berlaku kekurangan padi kira-kira empat peratus.

“Kali ini berlaku kekurangan padi di kawasan MADA yang akan menyebabkan kekurangan bekalan beras.

“Kita kena atasi masalah ini dalam jangka panjang dengan menyediakan jelapang padi kedua iaitu di Sabah dan Sarawak.

“Kelmarin saya di Miri dan Premier Sarawak mengumumkan peruntukan awal RM500 juta bagi kawasan tanaman di negeri itu,” katanya.

Mohamad berkata, pihaknya akan memohon RM400 juta kepada kerajaan dalam Belanjawan 2025 supaya infrastruktur kawasan luar jelapang padi dapat dinaik taraf.

Bagaimanapun, jelasnya, ia bergantung sama ada diluluskan Kementerian Kewangan atau sebaliknya.

Beliau menegaskan, usaha menaik taraf sistem saliran kawasan tanaman padi tidak boleh dilakukan kementeriannya sahaja, sebaliknya perlu secara bersama membabitkan agensi berkaitan demi memastikan keterjaminan makanan negara.

Dalam banjir yang melanda Kedah dan Perlis minggu lalu, dianggarkan lebih 10,000 keluarga terpaksa menumpang di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri, menjadikannya antara bencana paling teruk berlaku dalam tempoh 14 tahun.

Selain kerosakan padi, banjir turut memusnahkan tanaman lain seperti sayuran dan haiwan ternakan yang dihanyutkan arus.-BH Online