Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tidak ada sesiapa pun yang terbabit dalam siasatan kes GISB Holdings (GISBH) dibenar berselindung di sebalik agama atau kaum sekiranya didapati bersalah atas penderaan kanak-kanak atau penganiayaan pekerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kes itu mesti dikendalikan dengan tegas, tanpa mengira status mereka yang terlibat.

Anwar seperti dilaporkan Buletin Utama berkata, tindakan ahli pertubuhan itu tidak boleh dibiarkan berleluasa di negara ini, kerana ia merupakan penganiayaan dan penafian hak individu.

“Jangan gunakan kaum, jangan gunakan agama (untuk berselindung)… jika anda menindas, anda melanggar peraturan dan undang-undang, dan anda mendera dan memukul kanak-kanak, anda tidak menjaga kebajikan pekerja, saya akan tetap bertegas.

“Kita akan ambil tindakan tanpa mengira siapa. Barulah kita boleh selamatkan negara ini,” katanya pada majlis bersama masyarakat tempatan di Dewan Suarah Kapit, di sini, semalam.

Pada 27 September lalu, Anwar berkata kerajaan komited memastikan polis menjalankan siasatan telus terhadap GISBH. 

Anwar juga menggesa ahli dan penyokong GISB yang berada di dalam dan luar negara, yang tidak dalam siasatan untuk menghubungi pihak berkuasa.

Awal bulan ini, polis melancarkan tindakan besar-besaran ke atas rumah kebajikan yang dikendalikan GISBH.

Serbuan menyaksikan 402 kanak-kanak, berusia antara satu hingga 17 tahun diselamatkan daripada dakwaan eksploitasi dan penderaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata mangsa mengalami pelbagai bentuk eksploitasi dan penderaan termasuk diliwat.-BH Online