Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH: Program Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz diperluas dengan mengembangkan pengetahuan golongan hafiz al-Quran kepada bidang teknologi penerbangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata justeru seramai 622 hafiz al-Quran dipilih untuk menjalani latihan dalam bidang penerbangan bagi melahirkan generasi yang mampu menyumbang dalam pelbagai bidang profesional pada peringkat global.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan mereka ditempatkan di beberapa syarikat gergasi antarabangsa, termasuk Airbus serta Boeing, sekali gus mengubah tanggapan bahawa masa depan golongan itu hanya tertumpu dalam bidang agama.

“Saya berbangga melihat Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut yang berjaya melahirkan ramai graduan TVET Tahfiz yang bukan saja mahir dalam teknologi, malah huffaz (hafiz al-Quran).

“Kini, 17 huffaz sudah bekerja dalam bidang penerbangan, yang sedang dilatih seramai 622 orang dan semuanya kita yakin (akan mendapat tempat pekerjaan) kerana kita telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat kejuruteraan dalam bidang aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bawah Program TVET Aras Tinggi (Hi-TVET), industri aeroangkasa, Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) juga menawarkan kepada lepasan pelajar Hi-TVET untuk bekerja di CTRM serta mendalami ilmu di syarikat Airbus dan Boeing di Eropah dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, KKDW sebagai pemegang taruh terbesar institusi TVET negara juga terus memperkukuhkan peranannya melalui Hi-TVET.

Katanya, pelbagai program berimpak tinggi diperkenalkan dalam sektor strategik seperti aeroangkasa, perkapalan, teknologi rel, robotik dan satelit.

Sebagai contoh, beliau berkata, kursus dalam bidang aeroangkasa kini memfokus kepada melatih tenaga kerja dalam pengeluaran dan penyelenggaraan pesawat, selaras keperluan industri penerbangan.

“Begitu juga graduan TVET dalam bidang perkapalan dan teknologi rel menjadi penekanan dalam memenuhi keperluan pengangkutan global.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sangat menggalakkan institusi TVET membangunkan program latihan untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi.

“KKDW menyahut pelaksanaan program latihan berimpak tinggi ini dengan menyediakan program ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ khas bagi memantapkan tenaga pengajar dengan mengadakan kerjasama dengan institusi seperti Polimoda Itali dalam bidang fesyen, Dekra Akademie Jerman dalam bidang motor elektrik dan bateri, serta IBM Malaysia dalam bidang komputer,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, inovasi teknousahawan yang sedang dilaksanakan di beberapa institusi TVET harus dipuji dan akan terus diperkasakan.

Katanya, ini kerana selain bergantung pada tawaran gaji daripada majikan, usahawan yang lahir daripada institusi TVET mampu menjana pendapatan sendiri dan menggajikan individu atau melahirkan usahawan lain.

“Hingga 2023, seramai 418 pelajar Diploma Teknousahawan dari lapan kluster TVET sudah mencatatkan pendapatan keseluruhan sebanyak RM60 juta dalam tempoh pengajian mereka, sekali gus menunjukkan potensi besar dalam bidang ini,” katanya.-BH Online