Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan RM13.6 juta setakat ini bagi membantu usahawan kecil bagi komuniti India di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri R Ramanan, berkata di bawah program Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) Goes Big di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), sebanyak RM3 juta diperuntukan.

Sejumlah RM5 juta diperuntukan bagi program pemerkasaan wanita India (PENN) Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), manakala di bawah program Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) sebanyak RM5 juta diperuntukan.

“Terkini, sejumlah RM600,000 diperuntukan melalui program Business Accelerator Programme for Indian Small Business (I-BAP).

“Tiada jumlah peruntukan sebesar ini pernah diperuntukkan kepada komuniti India di dalam negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Perwakilan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) ke-73 2024 di sini, hari ini.

Sementara itu, Ramanan berkata, KUSKOP menjangkakan Belanjawan 2025 yang dibentangkan Oktober depan akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya, KUSKOP berharap peruntukan yang akan disalurkan kelak akan memberikan usahawan satu peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Selain itu, ia juga akan dapat memberi lebih banyak peluang latihan kepada usahawan serta pelbagai inisiatif dapat dilaksanakan.

“Bagaimanapun, semua itu diserahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau lebih arif untuk melaksanakan perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan KUSKOP akan menganjurkan Persidangan Koperasi Komuniti India sebagai komitmen kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup komuniti India.

“Penganjuran persidangan ini penting kerana akan memberi peluang pelbagai pihak berkaitan untuk berkongsi ilmu dan meneroka peluang baharu untuk bekerjasama.

“Semua pihak diundang untuk menyertai persidangan itu untuk membincangkan masa depan koperasi dalam kalangan komuniti India. Persidangan dijadualkan pada 13 Oktober ini bermula jam 8 pagi di Dewan Tun Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur,” katanya.-BH Online