KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan 41 peratus sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata sasaran itu adalah hasil daripada semakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“41 peratus itu bergantung kepada jumlah besar sumbangan KDNK keseluruhan tahun ini. Pada 2023, prestasi PMKS mencatatkan sumbangan sebanyak RM613 bilion, bersamaan 39.1 peratus daripada KDNK negara,” katanya semasa Majlis Perhimpunan Menteri KUSKOP bersama warga dan agensi KUSKOP di sini, hari ini.
Ewon berkata, bagi mencapai sasaran berkenaan, kementerian berkaitan serta lebih 50 agensi pembangunan usahawan perlu memikul tanggungjawab bersama.
Dalam pada itu, beliau berkata, KUSKOP mengharapkan peruntukan yang lebih besar dalam Belanjawan 2025 bagi menjalankan pelbagai aktiviti kementeriannya.
“Kami telah mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkaitan sebagai persediaan Belanjawan 2025, di mana dua sesi utama diadakan di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu. Sesi ini telah menerima banyak cadangan daripada pihak berkepentingan serta agensi kementerian,” katanya.
Beliau berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican serta Pasukan Belanjawan 2025.
“Saya menaruh keyakinan yang tinggi terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kementerian Kewangan agar peruntukan tahun depan yang lebih baik.
“Peruntukan ini dijangka bagi menjayakan pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk membangunkan sektor PMKS dan koperasi negara,” katanya.-BH Online