PUTRAJAYA: Pesalah yang mengulangi kesalahan membuang sampah merata-rata bakal berdepan hukuman khidmat sosial seperti mencuci longkang dan tandas bermula tahun depan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, susulan pindaan yang akan dilakukan terhadap Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Pindaan itu mencakupi seksyen berkaitan hukuman bagi pesalah yang membuang sampah merata-rata yaang mana beliau berkata ia perlu dipinda bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.
Mengulas lanjut, katanya, pindaan ini akan membabitkan undang-undang khidmat sosial bagi memastikan pesalah yang pernah melakukan kesalahan tidak mengulangi perbuatan sama di masa depan.
“Mereka yang dikenakan tindakan undang-undang ini pernah disabit kesalahan, namun tidak takut walaupun dikenakan kompaun.
“Kita akan jemput individu yang melakukan kesalahan berulang ini dengan memberi mereka t-shirt istimewa untuk sama-sama turun padang cuci longkang dan jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pra Pelancaran Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Clean Up Day 2024 di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di sini hari ini.
Program anjuran KPKT itu akan berlangsung Sabtu ini serentak di seluruh negara menyasarkan 50,000 peserta meliputi 156 pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata beliau beranggapan pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) adalah satu kaedah yang terbukti berkesan dan sudah diamalkan di beberapa negara maju seperti Norway, Sweden dan Singapura.
Beliau berkata, pindaan akan dibentangkan di Parlimen selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri tahun hadapan.
“Sekarang ini zaman sosial media, jika kita tidak menjaga kebersihan pelancong asing yang datang akan menyebarkannya di media sosial menyebabkan nama negara terjejas.
“Oleh itu penting kita memulakan usaha ini tahun depan,” katanya.-BH Online