KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kerajaan MADANI di bawah kepemimpinannya ketika ini sedang berperang dengan rasuah dan penyelewengan.
Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin negara, beliau mahu gejala itu dapat dihapuskan demi pembangunan Malaysia lebih baik.
“Kerajaan MADANI berperang sekarang dengan rasuah, penyelewengan. Orang membicarakan mengenai Islam, tapi (mereka) merompak hasil kekayaan negara kita hingga berbilion ringgit.
“Saya tidak mahu hal ini berlaku, perlu ada pengajaran. Mustahil kita semak setiap kontrak (tender), jadi akan ada ketirisan dana, negara mana mampu maju jika ada ketirisan ratusan juta, berbilion ringgit,” katanya.
Beliau juga menegaskan, setiap pemimpin seharusnya memberi contoh yang baik kepada rakyat bagi mengangkat darjat Islam dalam negara serta tata kelola yang cekap dan pantas.
“(Adakah) Jika pemimpin menjadi Perdana Menteri atau Menteri Kewangan mesti memiliki ratus juta. Bila kita minta mengisytiharkan harta, (dia) marah.
“Tetapi, saya jika diminta mengisytiharkan harta, esok saya isytihar, baru jadi pemimpin contoh,” katanya.
Terdahulu, Anwar merasmikan majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Lot 37856 Jalan Alam Sutera, Taman Alam Sutera Bukit Jalil di sini, hari ini.
Kompleks baharu SMISTA bernilai RM70 juta dijangka siap pada 2028 boleh memuatkan sehingga 576 pelajar, 130 guru berbanding kapasiti sedia ada iaitu hanya mampu menampung 363 pelajar dan 86 guru termasuk pengurusan sekolah.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Pada masa sama, Anwar berkata, seluruh jentera kerajaan dan swasta perlu dibersihkan daripada gejala itu demi masa depan yang baik untuk negara.
“Kita mampu (menangani rasuah), tetapi syarat seluruh jentera harus dibersihkan, kadang-kadang tazkirah banyak, pakai kopiah putih ramai, tetapi yang sakau (curi) juga ramai, ini membuatkan kita pening.
“Jangan pandang ringan, kadang-kadang saya beritahu kawan-kawan untuk perangi lawan rasuah pun tidak kena, yang pertahankan rasuah besar pun tak kena. Saya tak faham apa yang kurang di Malaysia ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan dalam masa hampir dua tahun, beliau tegas untuk tidak menambah projek mega baharu.
“Sehubungan itu, saya minta rakyat tidak menilai pencapaian saya dengan adanya mercu tanda pembangunan bangunan pencakar langit,” katanya.-BH Online