Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan akan melaksanakan program pemulihan pembelajaran bagi meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi Program Anak Kita yang bakal dilancarkan Jumaat ini.

Program diiltizamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memberi tumpuan meningkatkan literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah, mempertingkatkan kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengintegrasikan semula pelajar tercicir kembali kepada sistem pendidikan. 

Program pemulihan pembelajaran terbabit merangkumi intervensi disasarkan termasuk kelas pemulihan, latihan guru dan alat pembelajaran digital

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu sebahagian daripada komitmen lebih meluas untuk meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia, melalui penyelarasan dengan agenda pendidikan global seperti Matlamat Pembangunan Lestari 4 (Pendidikan Berkualiti) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG4) dan konsep Malaysia Madani yang menekankan kelestarian, kesejahteraan dan kreativiti.

Katanya, statistik Lembaga Peperiksaan (LP) menunjukkan, daripada 395,870 calon yang mendaftar SPM pada tahun 2023, 10,160 atau 2.65 peratus tidak hadir menduduki peperiksaan berkenaan.

“Daripada jumlah pelajar yang menduduki peperiksaan pada tahun sama, 6.5 peratus daripada jumlah calon, bersamaan dengan 25,735 pelajar tidak layak menerima sijil SPM mereka.

“KPM pada waktu ini sedang giat melaksanakan inisiatif reformasi pendidikan yang antara lain bertujuan menangani isu keciciran pembelajaran. 

“Ini dilaksanakan menerusi enam hala tuju utama termasuk penyelarasan semula sistem prasekolah dan intervensi kurikulum,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendidikan asas kepada pembangunan modal insan yang menjadi aset kepada kemakmuran ekonomi negara.

Katanya, memiliki kelayakan SPM adalah kritikal untuk memperkasakan belia dan memastikan penyertaan produktif dalam tenaga kerja.

“Kerajaan komited membina masyarakat yang berdaya saing dan berpengetahuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara. 

“Pendidikan yang baik dapat membina generasi yang mempunyai keperibadian baik dan kemahiran intelektual yang amat diperlukan untuk memacu ekonomi mampan seperti digariskan dalam rangka kerja Ekonomi Madani.

“Melalui peningkatan pendidikan, rakyat mampu keluar dari kemelut kemiskinan sekali gus mengangkat lantai ekonomi keluarga bagi jangka masa panjang sejajar hasrat kerajaan Malaysia dalam usaha pembasmian kemiskinan di negara ini,” katanya-Harian Metro Online