Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang semalam melancarkan jenama Pahang Gold menerusi Pahang Gold Sdn Bhd (Pahang Gold) dalam usaha meneroka pembuatan produk hiliran emas serta merancakkan ekonomi negeri. 

Berucap pada majlis pelancaran Pahang Gold di Putrajaya sempena Persidangan S-GLC Pahang 2024 semalam, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pelancaran itu adalah langkah permulaan Pahang Gold ceburi pasaran emas Malaysia.

“Visi dan misi syarikat adalah mengangkat industri emas Pahang. Sebagai pemain baharu, Pahang Gold komited memperkenalkan produk emas berkualiti tinggi serta mengukuhkan nama Pahang sebagai pengeluar emas terkemuka. null

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk ‘Merakyatkan Industri Emas’ melalui penubuhan Pahang Gold bagi tujuan penerokaan baharu dalam industri hiliran emas, sekali gus membuka peluang dalam sektor pembuatan dan pelaburan berasaskan sumber mineral emas,” katanya yang juga Pengerusi Pahang Gold.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata industri emas sudah lama menjadi sebahagian daripada identiti dan kekayaan negeri Pahang. 

Pahang Gold bukan sahaja akan memacu ekonomi negeri tetapi juga membuka peluang pekerjaan serta menambah nilai kepada produk emas tempatan. 

“Saya berharap Pahang Gold akan menjadi simbol kebanggaan negeri dan peneraju dalam industri emas negara,” katanya. 

Majlis pelancaran juga memberi peluang kepada peserta Persidangan S-GLC Pahang untuk memahami lebih mendalam usaha Pahang Gold mencipta peluang ekonomi melalui pelaburan dan produk berasaskan emas.

Pada majlis itu turut diperkenalkan laman web e-dagang rasmi Pahang Gold, www.pahanggold.com sebagai platform utama pembelian dan pelaburan produk emas secara dalam talian. 

Buat permulaan, tiga jenis koleksi emas iaitu Initial Edition, Core Collection dan Pahang Series seberat 0.25 gram (g) hingga 100g dalam bentuk jongkong, syiling, wafer dan Dinar Pahang Gold diperkenalkan. -BH Online