Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SIPITANG: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan berusaha membangunkan aktiviti eko pelancongan di daerah luar bandar Sabah, khususnya di kawasan sempadan seperti di daerah ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu sejajar potensi besar yang bakal dinikmati kawasan sempadan Sabah berikutan pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara, Kalimantan.

Katanya, langkah negara jiran itu bakal meningkatkan akses di kawasan sempadan Sabah dan membuka peluang ekonomi yang lebih besar di wilayah ini.

“Pemindahan itu sudah pasti akan meningkatkan akses dan membuka peluang pembangunan ekonomi yang lebih besar di wilayah ini,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan Irau Rayeh Lundayeh Sabah Ke-16 di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS), di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. 

Yang turut hadir ialah Presiden Persatuan Lundayeh Sabah, Datuk Pengiran Lalung.

Irau Rayeh ialah festival budaya masyarakat Lundayeh yang kebanyakannya mendiami kawasan sempadan Sabah-Kalimantan, khususnya Long Pasia, Sipitang.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementerian itu juga akan meluluskan peruntukan khusus bagi membantu penggiat kraftangan etnik Lundayeh di Kompleks PKLS, di sini.

“Saya berharap sektor kraftangan di Sipitang dapat dimajukan, bahkan dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

“Dengan adanya Kompleks PKLS ini, pelbagai aktiviti kraftangan khususnya membabitkan masyarakat Lundayeh boleh dikembang dan dimajukan,” katanya.

Mengenai festival budaya yang diraikan masyarakat Lundayeh, Ahmad Zahid berkata acara tahunan itu perlu dipromosikan dengan lebih meluas melalui penggunaan media sosial dan platform digital.

Katanya, pendekatan itu akan memastikan keterlihatan global yang lebih tinggi, selain dapat menghubungkan masyarakat Lundayeh secara terus kepada dunia luar.

“Festival Irau Rayeh Lundayeh berpotensi menjadi tarikan utama dalam sektor pelancongan budaya dan eko pelancongan negara. Justeru usaha secara berterusan untuk mempromosikanya perlu dilakukan termasuklah melalui pengunaan plaftrom digital.

“Jika kita dapat memperkenalkan pakej pelancongan yang merangkumi sambutan Irau Rayeh ia akan menarik lebih ramai pelancong sekali gus meningkatkan pembangunan tempatan melalui perbelanjaan produk budaya, kraftangan dan makanan tempatan,” katanya.

Selain itu, katanya penganjuran festival berkenaan juga penting dalam menyatukan komuniti, khususnya masyarakat Lundayeh, dan memperkenalkan budaya mereka kepada masyarakat luar.-BH Online