Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NEW YORK: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, tiba di New York, Amerika Syarikat bagi mewakili Malaysia dalam sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy pada jam 8.30 malam tadi waktu tempatan, diiringi isterinya, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin.

Sejurus tiba, Mohamad disambut oleh Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Dr Ahmad Faisal Mohamad dan Konsul Jeneral Malaysia di New York, Amir Farid Abu Hasan.null

BERNAMA sebelum ini melaporkan, Mohamad yang menghadiri UNGA buat kali pertama sejak dilantik sebagai Menteri Luar pada Disember 2023, dijadual menyampaikan Kenyataan Negara di Summit of the Future (SOTF) pada 22 September dan di Debat Umum pada 28 September.

Pendekatan Malaysia di PBB akan berteraskan tiga tema utama iaitu ‘Mempertahankan Prinsip, Menerima Reformasi dan Mengukuhkan Kerjasama’.

SOTF yang diadakan serentak dengan UNGA tahun ini adalah teras kepada visi Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, melalui “Our Common Agenda,” yang kali pertama diumumkan pada September 2021.

Agenda itu menuntut komitmen menyeluruh untuk membaharui dan memperkukuh sistem antarabangsa, bertujuan menangani cabaran baharu seperti perubahan iklim, ketidaksamaan teknologi dan kemerosotan multilateralisme.

Mohamad juga akan menyertai beberapa mesyuarat peringkat tinggi termasuk ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Komanwel, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), G77 dan China, Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan G20.

Sesi ke-79 UNGA akan menampilkan tiga acara utama iaitu SOFT (22-23 September), Debat Umum (24-28, 30 September) dan Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Kenaikan Paras Laut (25 September). – BERNAMA