PUCHONG: Fasiliti penghasilan vaksin dan insulin pertama di Malaysia diramal bukan saja mampu menampung permintaan tempatan, malah antarabangsa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pembinaan fasiliti milik Pharmaniaga itu membabitkan pelaburan mencecah RM300 juta dan dijangka mampu memberi pulangan lumayan.
Beliau berkata, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holding Berhad adalah pemegang saham terbesar dalam projek berkenaan dengan nilai pelaburan melebihi 50 peratus.
“Kilang ini boleh menghasilkan insulin dan vaksin untuk 13 jenis penyakit, justeru menerusi perasmian fasiliti ini akan dapat membantu keterjaminan ubat negara.
“Kita maklum, insulin digunakan untuk memenuhi keperluan pesakit kencing manis atau diabetes yang kita tahu jumlah mereka tinggi.
“Jumlah keperluan ubat juga tinggi dan kerajaan setiap tahun membelanjakan kira-kira RM300 juta untuk (beli) insulin saja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan fasiliti pengilangan itu di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, fasiliti pengilangan dilakukan anak tempatan itu dilihat mampu memberi penjimatan dari sudut kewangan kepada negara kerana dapat mengurangkan jumlah eksport khususnya membabitkan insulin untuk pengidap diabetes.
Beliau yakin, Pharmaniaga juga memiliki kemampuan mengeksport produk perubatan itu bagi memenuhi permintaan antarabangsa yang secara langsung akan memberi keuntungan kepada LTAT sendiri.
Mengulas pemegang saham LTAT dalam fasiliti itu, Mohamed Khaled berkata, ia satu pelaburan bijak yang diharap mampu memberikan dividen kepada tabung Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Pharmaniaga bersedia memenuhi keperluan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi insulin, begitu juga vaksin yang mana setiap tahun kita (Malaysia) import kira-kira RM250 juta vaksin.
“Setakat ini mereka akan keluarkan vaksin untuk dua jenis penyakit walaupun mereka berkemampuan menghasilkan pelbagai (vaksin) tetapi kita akan lakukan secara berperingkat.
“Sekarang Pharmaniaga mampu mengeluarkan dan membekal vaksin, jadi ia menyumbang kepada soal keterjaminan ubat-ubatan (tempatan) dan mengurangkan keperluan import,” katanya.-BH Online