KUALA LUMPUR: Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini mendedahkan kandungan penuh draf memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak oleh ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam.
Timbalan Perdana Menteri (TPM) berkata beliau bertindak mendedahkan kandungan draf berkenaan susulan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.
Beliau berharap tindakannya itu membuktikan ketelusan kerajaan MADANI tidak lain cuma mahu mewujudkan suasana aman dan hormoni supaya semua Ahli Parlimen lebih memfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi, selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang.
Tegas beliau, ini penting supaya semua pihak dapat menumpukan sepenuh tenaga dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia.
“Dengan pendedahan draf MoU ini, rakyat sendiri boleh menilai bahawa semua dakwaan Ketua Pembangkang mengenai draf terbabit adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikut adalah kandungan penuh draf MoU berkenaan:
1. Tempoh kuatkuasa MoU – Berkuatkuasa dari tarikh Memorandum dan terpakai sehingga pembubaran Majlis Parlimen Ke-15 atau pada 19 Disember 2027 (mana yang terdahulu).
2. Obligasi Perikatan Nasional (PN) – Menyentuh mengenai peranan dan fungsi Ahli Parlimen Pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai Ahli Parlimen pembangkang berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina. Ia juga menyentuh pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.
3. Obligasi Kerajaan PersekutuanKerajaan Persekutuan antara lain mengakui bahawa Ahli Parlimen pembangkang mempunyai peranan yang besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja, serta bertindak untuk semak dan imbang secara sah dan bertanggungjawab.
4. Ketelusan dan tiada kerahsiaanMemorandum ini tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan.
5. Pemakaian undang-undangMemorandum Persefahaman ini hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia
6. Pembatalan memorandumMoU ini secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut MoU ini. Ini melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.-BH Online