KAJANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu supaya siasatan dan tindakan berhubung kes berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) disegerakan.
Perdana Menteri berkata, isu berkaitan akidah, salah guna kuasa, salah guna agama dan penderaan adalah perkara besar jika terbukti benar.
“Biar polis buat siasatan dan tindakan mengikut undang-undang, pihak majlis agama terutama di Wilayah (Persekutuan dan saya lihat juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Ramai tanya kenapa (berlaku) kelewatan , lengah dalam ambil tindakan, jadi saya sudah bawa perkara ini supaya diambil tindakan segera (dalam) siasatan dan laporan,” katanya ketika ditemui selepas menunai solat Jumaat di Masjid Al-Iman Kampung Desa Putra di sini, hari ini.
Dalam Op Global dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.
Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.
Dalam operasi itu pihak berkuasa turut menahan 171 individu terdiri daripada kakitangan, pengurus dan ustaz di rumah amal berkenaan.
Malah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada sidang medianya di Kuantan sebelum ini memaklumkan, siasatan mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan GISBH adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.
Bagaimanapun, GISBH menerusi satu kenyataan menafikan dakwaan penghuni rumah amal kendalian syarikat itu menjadi mangsa liwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.
GISBH berkata dakwaan itu adalah tuduhan berat untuk menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat sekali gus mewujudkan persepsi negatif terhadap pihaknya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, JAKIM memiliki kekuatan dalam penyiasatan dan pendidikan khususnya dalam memberi nasihat berkaitan isu terbabit.
“Dia (JAKIM) ada saluran dan saya minta jangan lengahkan,” katanya.
Pada sidang media pagi tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata 13 kanak-kanak yang menjadi penghuni rumah perlindungan yang diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Global Rabu lalu disyaki telah diliwat.
Ia berdasarkan saringan perubatan yang dijalankan terhadap 13 mangsa itu yang menghuni di 20 rumah perlindungan yang dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan.
Saringan dijalankan dengan bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kesemua yang menjadi mangsa liwat ini terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 17 tahun,” katanya.
Razarudin turut menegaskan dana disumbangkan kepada 20 pusat jagaan dikaitkan dengan GISBH adalah antara skop siasatan dilakukan pihak berkuasa.
Bagi tujuan itu, beliau berkata, pasukan siasatan jenayah pengubahan wang haram (AMLA) Bukit Aman sudah digerakkan bagi mengenal pasti setiap rekod transaksi berkaitan.
Katanya, selain elemen pemerdagangan manusia, siasatan berkenaan menjurus kepada dana berkaitan rumah amal terbabit dan perniagaan lain sekiranya diperlukan.
“Kita percaya pusat jagaan ini mempunyai penaja lain, selain GISBH. Ada juga rumah orang tua yang menerima dana daripada GISBH dan sumber lain juga,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Perdana Menteri diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menunaikan solat bersama kira-kira 1,000 jemaah di masjid berkenaan.
Beliau yang lengkap berbaju Melayu warna biru turut mendengar khutbah bertajuk ”Mencintai Rasulullah SAW’ yang disampaikan Ustaz Bilal Kamarudin.
Selepas menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah sebelum beredar.-BH Online