Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHANGHAI: Malaysia dan China meneroka fasa baharu kerjasama pembuatan kenderaan tanpa pemandu (UAV) dilengkapi keupayaan teknologi jauh lebih tinggi bagi memenuhi keperluan pelbagai sektor dan permintaan global. 

Sebagai permulaan, sebuah syarikat dari China bersetuju bekerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk melatih tenaga tempatan dalam pemasangan dan pembuatan UAV.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata syarikat berkenaan mahu memindahkan teknologinya kepada UniKL dan melatih pelajar universiti itu mempelajari teknologi dan kaedah pembikinan kenderaan terbabit. 

“Bulan depan mereka akan berada di Sepang, iaitu di Institut Teknologi Penerbangan Universiti Kuala Lumpur (MIAT UniKL) untuk memulakan latihan pemasangan UAV buatan China.

“Tahun depan, mereka akan labur RM100 juta di sebuah premis kekal (kilang sendiri), selain memindahkan teknologi dan latih pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mendalami teknologi UAV.

“Teknologi itu, khususnya berkaitan segmen penyelenggaraan,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara anak syarikat MARA Corporation (MARA Corp) dengan syarikat China.

MoU berkenaan dimeterai MARA Aerospace & Technologies Sdn Bhd dan Honeycomb Aerospace Technologies (Beijing) Co Ltd (Honeycomb Aerospace).

Mewakili MARA pada majlis turut disaksikan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corp, Zulkarnain Taman, manakala Honeycomb Aerospace diwakili Pengurus Besar, Liu Tiejun.

Syarikat berkenaan antara tiga pengeluar UAV terbesar di China, menggunakan teknologi yang mampu menerbangkan sehingga 3,000 jam, selain dilengkapi kamera yang boleh memantau sehingga sejauh 300 kilometer (km).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata kerjasama dengan institusi pendidikan termasuk universiti awam (UA) lain sedia untuk diperluas jika permintaan pasaran teknologi UAV tempatan dan global semakin meningkat. 

“Ketika ini, insitusi pendidikan yang mempunyai kepentingan sama dengan MIAT UniIKL adalah UTHM (Universiti Tun Hussein Onn) serta empat lagi universiti TVET.

“Kalau permintaan UAV jauh lebih besar selepas ini, kita akan perluas kerjasama ini,” katanya menambah UAV berteknologi tinggi itu sesuai untuk kawalan keselamatan sempadan, sektor pertanian dan perladangan. 

“Pemantauan keselamatan sempadan masih terlalu awal dan mungkin boleh diteroka selepas ini. Kita juga gunakan kombinasi UAV sebab ia dilihat lebih efektif.

“Memandangkan (UAV memiliki keupayaan) kamera yang boleh memantau sejauh 300km, bukan saja boleh memantau Semenanjung, tapi juga Sabah dan Sarawak kerana kita ada sempadan darat di Borneo yang luas,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, sebaik kilang syarikat dari China itu dibina di Malaysia nanti, ia mensasarkan pengeluaran 3,000 UAV setahun.-BH Online