KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri ke-31 Thailand, Paetongtarn Shinawatra, melalui panggilan telefon susulan upacara mengangkat sumpah jawatan itu pada 6 September lalu.
Perdana Menteri ketika memaklumkan perkara itu dalam hantaran melalui Facebook beliau, turut menzahirkan keyakinan hubungan erat Malaysia-Thailand akan terus berkembang dan utuh bawah kepimpinan Paetongtarn.
“Malaysia dan Thailand berkongsi banyak kepentingan bersama mencakupi pelbagai bidang kerjasama.null
“Saya juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri Paetongtarn bagi melaksanakan usaha-usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand demi kemajuan serta kemakmuran kedua-dua negara dan rantau ini secara keseluruhannya,” katanya.
Paetongtarn, 37, yang juga Perdana Menteri termuda di Thailand, mengangkat sumpah taat setia di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn di Dewan Kediaman Amphorn Sathan, 6 September lalu. – BERNAMA