Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat oleh Pengerusi Marriott International, David Marriott, yang mewakili syarikat hospitaliti terbesar di dunia.

Perdana Menteri berkata, peluang itu digunakan untuk mencari ruang membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, selain meningkatkan jaringan penerbangan lebih luas.

“Saya sempat kongsikan polisi Kerajaan MADANI yang kini telah membuahkan hasil apabila negara berjaya merekodkan peningkatan kehadiran pelancong asing sebanyak 28.9 peratus untuk separuh tahun 2024 berbanding tempoh sama pada 2023.

“Ini ditambah dengan kekayaan Malaysia dengan budaya daripada kepelbagaian kaum, makanan enak serta keunikan biodiversiti yang mampu mengangkat negara ini sebagai satu destinasi tumpuan utama di rantau Asia Tenggara, khususnya dalam kalangan pelancong negara Barat,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook, hari ini.

Anwar berkata, usaha penting itu turut disertai pemain industri dan syarikat swasta dari dalam dan luar negara supaya pulangan daripada kejayaan itu akan turut memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.-BH Online