PUTRAJAYA: Nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM157.1 bilion pada Julai 2024, meningkat 9.1 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya, menjadikannya pertumbuhan tertinggi sejak Februari 2023, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu sebahagian besarnya dipacu oleh pertumbuhan dua angka iaitu sebanyak 16 peratus dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau; diikuti oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik (8.2 peratus); dan petroleum, kimia, getah & plastik (6.2 peratus).
Beliau berkata, berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan berkembang 0.6 peratus daripada RM156.1 bilion pada Jun 2024.
“Industri berorientasikan eksport yang merangkumi 72.3 peratus daripada jumlah nilai jualan, kekal kukuh dengan pertumbuhan 9.4 peratus pada Julai 2024 selepas mencatatkan peningkatan 6.0 peratus pada bulan sebelumnya.
“Prestasi yang lebih baik ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (9.1 peratus); pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (23.5 peratus) dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (4.8 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan industri berorientasikan eksport turun sedikit sebanyak 0.5 peratus, sementara industri berorientasikan domestik mengukuh pada 8.4 peratus.
Dalam pada itu, katanya, industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler memulih kepada 6.2 peratus daripada penurunan 5.2 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
“Bagi perbandingan secara bulanan, nilai jualan industri berorientasikan domestik meningkat semula sebanyak 3.7 peratus selepas kekal pada trend menurun sejak April 2024.
Mohd Uzir berkata, terdapat 2.37 juta pekerja terbabit dalam sektor pembuatan pada Julai 2024, meningkat 1.3 peratus berbanding setahun lalu.
Beliau berkata, pertumbuhan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh makanan, minuman dan tembakau (4.0 peratus); produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (2.3 peratus) dan kayu, perabot, produk kertas dan percetakan (1.2 peratus).
“Berbanding dengan bulan sebelumnya, bilangan pekerja dalam sektor ini merosot sedikit 0.01 peratus (Jun 2024: -0.3 peratus).
“Pada masa yang sama, gaji dan upah dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 2.4 peratus, mencecah jumlah RM8.12 bilion. Ini menjadikan kenaikan purata gaji dan upah bulanan setiap pekerja adalah sebanyak 1.2 peratus kepada RM3,429.
“Selari dengan itu, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat sebanyak 7.8 peratus untuk merekodkan RM66,285,” katanya.
Mohd Uzir berkata, dalam tempoh Januari hingga Julai 2024, nilai jualan kumulatif sektor pembuatan mencatatkan RM1.08 trilion, meningkat 4.5 peratus berbanding tempoh yang sama 2023.
Beliau berkata, bilangan pekerja meningkat 1.3 peratus kepada sejumlah 2.37 juta orang, manakala gaji dan upah
tumbuh 1.5 peratus kepada RM57.4 bilion.
Selain itu, katanya, nilai jualan bagi setiap pekerja berjumlah RM455,213, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.2 peratus.-BH Online