Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tiga isu utama yang semakin menular di media sosial menjadi fokus penyediaan garis panduan tata laku bagi platform media sosial, yang akan berkuat kuasa tahun depan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata isu berkenaan merangkumi jenayah penipuan dalam talian, buli siber dan antunan atau jenayah seksual terhadap kanak-kanak, yang dikenal pasti berdasarkan maklumat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PDRM beri maklum balas yang platform media sosial ketika ini tidak begitu proaktif untuk menangani jenayah ini.

“Jadi, kita adakan garis panduan tata laku ini supaya platform faham, jika mereka gagal akur dan patuh maka ada tindakan boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Vaksinasi Percuma Lembah Pantai di sini, hari ini.

Fahmi berkata, sesi libat urus pertama bagi merangka garis panduan berkenaan diadakan Selasa lalu bersama pengendali platform media sosial.

“Kita harap menjelang hujung Oktober atau November, ia akan selesai dan garis panduan ini tersedia untuk difahami platform media sosial,” katanya.

Sementara itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai meminta Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mempergiat usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan vaksin, selain amalan pemakanan sihat.

“Saya harap rakan-rakan akan dapat terus mengusahakan, termasuk meluaskan program ini, bukan hanya pemberian vaksin tetapi juga meningkatkan pemahaman serta literasi kesihatan, sama ada dari segi pemakanan dan gaya hidup,” katanya.

Pada program itu, sebanyak 400 vaksin cacar air dan papilomavirus manusia (HPV) diberikan secara percuma kepada orang ramai.-BH Online