Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEOUL: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memulakan lawatan kerja lima hari ke Korea Selatan hari ini, bagi menghadiri persidangan ketenteraan yang dijadual bermula esok.

Beliau dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Responsible Artificial Intelligence in the Military Domain (REAIM) 2024 yang dijadual berlangsung di Lotte Hotel, di sini.

Selain itu, beliau juga akan menyertai Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2024 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck-Soo.

Mohamed Khaled dan delegasi Kementerian Pertahanan (MINDEF) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada jam 7.45 pagi (waktu tempatan) hari ini dan disambut Kaunselor (Pertahanan) Kedutaan Tinggi Malaysia di Seoul, Kolonel Mohamad Nazri Ahmad.

REAIM adalah platform perbincangan global pihak berkepentingan dalam bidang pertahanan dan ketenteraan berkaitan kaedah memastikan aplikasi ketenteraan AI yang bertanggungjawab.

Sidang Kemuncak REAIM dihoskan bersama oleh Belanda, Singapura, Kenya, United Kingdom dan Ireland Utara.

Selain persidangan REAIM dan SDD 2024, Mohamed Khaled bakal mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan (DAPA) Korea, Mejar Jeneral (B) Seok Jong Gun dan mengadakan pertemuan empat mata bersama Menteri Pertahanan Nasional Korea, Kim Yong-Hyun.

Mohamed Khaled turut dijadual melawat Korea Aerospace Industries Ltd (KAI) yang bakal membekalkan 18 unit pesawat tempur FA-50M kepada Kementerian Pertahanan di Sacheon, Khamis ini.

Lawatan ke KAI bertujuan melihat sendiri proses pembinaan pesawat tempur ringan FA-50M, di samping mengeratkan hubungan pemain industri pertahanan antara kedua-dua negara.

Pada penganjuran pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) tahun lalu, Kementerian Pertahanan dan KAI menandatangani kontrak memperoleh 18 pesawat pejuang ringan FA-50M.

Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperoleh TUDM membabitkan varian FA-50 Block 20.

Pesawat itu adalah yang paling moden dan berkeupayaan tinggi berbanding varian diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 buatan Korea Selatan itu, turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina di Asia Tenggara.-BH Online