Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHANGHAI, CHINA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual memulakan lawatan kerja ke Republik Rakyat China (RRC) bermula hari ini hingga Khamis dalam usaha mempertingkat kerjasama khusus dalam membanteras jenayah rentas sempadan. 

Lawatan rasmi keduanya ke China pada tahun ini adalah atas jemputan bersama Pengerusi Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL), Tsang Wai-Hung dan Presiden Persatuan Persahabatan China, Chen Zinmin.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Ahmad Zahid dijadual menghadiri Persidangan GPSCFL bermula hari ini hingga esok, berlangsung di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu. 

“Persidangan ini, bertema ‘Win-win Cooperation Under Significant Changes: Building A Global Community of Common Public Security’, akan melihatkan pemimpin antarabangsa berkumpul untuk menangani masalah keselamatan awam,” katanya. 

Turut sama mengiringi beliau, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang turut mengambil bahagian dalam persidangan ini. 

Wisma Putra berkata, Timbalan Perdana Menteri juga dijadualkan untuk mengadakan perbincangan dengan Penasihat Negara dan Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong, mengenai perkara yang mempunyai kepentingan bersama kedua-dua negara.

“Mereka juga dijangka bertukar pandangan berhubung isu serantau dan antarabangsa,” katanya. 

Dalam rangka lawatan kerjanya ke China juga, Ahmad Zahid turut dijadual menghadiri Forum Perniagaan Halal Malaysia-China di Shanghai pada Selasa ini, dianjurkan Halal Development Corporation (HDC) dan dihadiri oleh pemain industri halal dari Malaysia dan China.

“Beliau juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Mara Aerospace & Technologies Sdn Bhd dan Honeycomb Aerospace Technologies (Beijing) Co Ltd dalam bidang penerbangan,” katanya. 

Katanya, lawatan ini dijangka akan menambahkan lagi momentum kepada hubungan dua hala yang kukuh di antara Malaysia dan China sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini. 

“Hubungan dua hala sudah kian berkembang sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP) pada 2013,” katanya. 

Untuk 15 tahun berturut-turut sejak 2009, katanya China adalah rakan perdagangan global Malaysia yang terbesar, dengan tahun lalu saja, jumlah perdagangan dengan Malaysia bernilai RM450.84 bilion, menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global Malaysia.

“Separuh tahun pertama 2024 sudah mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion. Pada suku tahun pertama 2024, sejumlah 24 projek pembuatan diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.4 bilion,” katanya.-BH Online