Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Satu garis panduan untuk merakam foto, video atau kandungan berkaitan kanak-kanak bawah umur perlu diwujudkan sebagai panduan awam.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada pihak berkaitan dalam usaha membendung manipulasi atau penyalahgunaan berkaitan imej atau video kanak-kanak.

“Saya rasa nanti perlu diadakan satu taklimat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apa garis panduan untuk kita rakam (foto, video atau kandungan berkaitan kanak-kanak).

“Misalnya bagi program yang membabitkan ‘crowd’ (khalayak) ramai mungkin tidak mengapa, namun bagi yang merakam individu (secara khusus) sehingga lencana sekolah kanak-kanak ini boleh dilihat, ini tentunya boleh mendatangkan bahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Hari-Hari Bola, Piala MADANI Lembah Pantai 2024 di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut berharap semua pihak lebih cakna mengenai keselamatan kanak-kanak, sebagai contoh tidak merakam foto atau video mereka sekiranya tidak mendapat kebenaran ibu bapa.

“Misalnya dalam kes berkaitan ‘Abang Bas’ (yang ditahan kerana merakam foto murid dalam bas), Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia sudah mengeluarkan kenyataan untuk keluarkan garis panduan pada ahli mereka supaya ibu bapa rasa lebih terjamin mengenai keselamatan anak mereka.

“Dalam hal ini, pihak lain termasuk guru juga perlu mainkan peranan. Ada yang papar wajah anak murid tanpa kebenaran ibu bapa.

“Jadi sama ada pihak pengusaha bas, guru atau penjaga harus faham Akta Kanak-Kanak dan Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut melihat langkah sama perlu diperluas kepada pihak lain yang terbabit dengan kanak-kanak bawah umur bagi memastikan keselamatan mereka dalam menjalani aktiviti seharian di dalam dan luar talian.

Sebelum ini tular di aplikasi TikTok, pemandu bas sekolah dikenali ‘Abang Bas’ menggelar seorang penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Tindakan itu mendapat kecaman ibu bapa yang berpendapat hantaran seperti itu tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Pemilik akaun yang menggunakan nama ‘Abang Bas’ mempunyai lebih 600,000 pengikut memuat naik video ketika memandu bas sekolah, dengan wajah pelajar sekolah rendah jelas kelihatan di belakangnya.-BH Online