KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berharap kerajaan terus berusaha merancakkan ekonomi negara bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.
Baginda yang menzahirkan perasaan sukacita dengan keadaan ekonomi dan prestasi perdagangan negara bertambah baik serta menunjukkan peningkatan, bertitah semua pemimpin dan anggota pentadbiran kerajaan perlu mmeikul amanah dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara.
Titah baginda, mereka juga perlu mengelakkan amalan rasuah dan salah guna kuasa.null
“Saya juga berharap seluruh rakyat Malaysia akan terus mengekalkan perpaduan, hidup harmoni dan bersatu padu serta berpegang teguh kepada Rukun Negara,” titah baginda pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Turut hadir pada istiadat di Balairung Seri Istana Negara itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri Kabinet.
Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan atas ucapan tahniah dan iringan doa daripada rakyat sempena ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi hari ini.
“Doa seluruh rakyat sentiasa mengiring setiap langkah saya menjalankan tugas dan amanah sebagai Ketua Negara.
“Marilah berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Malaysia terus dikurniakan rahmat, keberkatan dan kekal aman, makmur serta sejahtera,” titah baginda.
Terdahulu, Anwar ketika merafak sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong pada istiadat itu berkata, kerajaan akan terus menggiatkan usaha memastikan negara terus stabil, selain mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mesra perniagaan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 116 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 dengan dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri. -– BERNAMA