KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan komited melindungi kesejahteraan sosio-ekonomi dan perlindungan sosial anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas berakhirnya perkhidmatan mereka.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata antaranya menerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk menjana simpanan persaraan anggota ATM.
“Pengorbanan dan dedikasi anggota ATM adalah asas pertahanan negara. Dengan sokongan kolektif, saya yakin Malaysia akan terus aman, makmur dan dihormati di peringkat antarabangsa.
“Saya juga akan terus mendukung usaha LTAT dalam memastikan simpanan persaraan anggota ATM terus berkembang dengan mampan, demi kehidupan persaraan yang selesa dan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sempena Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Selatan 2024.
Program anjuran LTAT yang bermula 2 September lalu melabuhkan tirainya semalam, menerima kehadiran hampir 3,500 pengunjung dalam kalangan anggota ATM di tiga kem tentera iaitu Kem Syed Sirajuddin Gemas, Negeri Sembilan; Kem Terendak, Melaka dan Kem Mahkota Kluang, Johor.
Minggu Bersama Pencarum terus menjadi landasan utama bagi LTAT untuk menyantuni dan meningkatkan keterlibatannya dengan warga ATM.
Ia menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan platform bual bicara yang memberi penekanan kepada faedah disediakan LTAT kepada pencarum dan pendedahan berhubung pengurusan kewangan mampan.
Dalam program sama, turut dilancarkan Laporan Pencarum LTAT 2023, sebuah inisiatif terbaru LTAT yang bertujuan memberi kefahaman mendalam berhubung peranan LTAT terhadap warga ATM dan pembangunan ekonomi negara.
Laporan Pencarum LTAT 2023 adalah sebuah laporan komprehensif yang julung kali diterbitkan bertujuan membantu anggota ATM memahami dengan lebih baik peranan dan tanggungjawab LTAT.
Laporan ini juga menekankan faedah-faedah disediakan LTAT, serta memperlihatkan komitmen lembaga itu dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan sosio-ekonomi warga ATM termasuk peranannya dalam menyokong pembangunan ekonomi Malaysia selaras dengan inisiatif Ekonomi MADANI diperkenalkan kerajaan.-BH Online