Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Siasatan lebih menyeluruh wajar dilakukan bagi meneliti aspek penyelenggaraan saliran utiliti bawah tanah di ibu kota yang dipasang sejak sekian lama.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, kebanyakan kejadian tanah jerlus ini membabitkan pergerakan air dalam kuantiti yang banyak di bawah tanah.

Beliau turut memberi contoh kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Maarof pada 2021 dan Jalan Abdullah di kawasannya pada Oktober tahun lalu disebabkan saliran yang rosak.

Disebabkan itu, Fahmi berkata, pihaknya mencadangkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif untuk meneliti pemetaan utiliti di ibu kota.

“Bagi saya sebagai seorang Ahli Parlimen di kawasan Kuala Lumpur memandangkan banyak utiliti sebenarnya telah dipasang sekian lama kalau di Jalan Abdullah sejak 1940-an, maka wajar kita lakukan siasatan lebih menyeluruh dan meneliti aspek-aspek penyelenggaraan bagi saliran-saliran utiliti tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Pentarama dan Kelab Malaysiaku sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 8.22 pagi Jumaat lalu, wanita warga India yang sedang berjalan di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, di sini, tiba-tiba terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menafikan kerajaan memilih bulu membabitkan isu kaum, agama dan raja (3R).

Menurutnya, tindakan yang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memilih mana-mana individu atau pihak.

“Sesiapa yang melakukan kesalahan, wajar disiasat dan diambil tindakan termasuk sekiranya cukup maklumat, siasatan penuh dan boleh dibawa ke mahkamah.

“Bukan menteri yang memutuskan siapa yang disiasat, siapa yang tidak disiasat, siapa yang kesnya dibawa ke mahkamah atau tidak. Kita serah kepada agensi (penguatkuasaan) untuk lakukan siasatan tanpa rasa takut dan pilih kasih,” katanya.-Harian Metro Online