Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengarahkan siasatan dilakukan di sebuah ladang durian di kawasan berbukit di Kampung Pasir, Slim River, berdekatan lokasi insiden kepala air pada Jumaat lalu.

Beliau berkata siasatan perlu dilakukan untuk mengetahui mengenai kemungkinan wujud kegiatanpembersihan hutan untuk aktiviti pertanian yang dikaitkan dengan kejadian itu.

Katanya siasatan itu akan menjurus untuk melihat sama ada ladang seluas 43 hektar terbabit mempunyai kebenaran merancang (KM) dari Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) serta pematuhan terhadap penilaian impak alam sekitar (EIA).

“Sekarang sudah ada satu syarat wajib, mana-mana orang yang nak membangunkan tanah, nak buat ladang dia kena buat KM.

“Dahulu KM untuk pembinaan, tetapi sekarang hendak memotong pokok pun kena ada KM…jadi dia sepatutnya mematuhi syarat itu dan hantar permohonan KM kepada PLAN Malaysia.

“EIA tu sepatutnya dibuat, kalau dia gagal, dia kena denda atas kesalahan itu, apa lagi kalau kita menjadi penyebab kepada banjir,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan kawasan berbukit dan teres seluas 43 hektar di Kampung Pasir, Slim River bakal muncul sebagai pusat pengeluaran durian premium dengan penanaman 1,000 pokok durian Musang King.

Difahamkan, projek pertanian berskala besar diusahakan sebuah syarikat itu sudah memasuki fasa pertama membabitkan penanaman 400 anak pokok Musang King bermula sekitar pertengahan Jun lalu.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, laporan siasatan itu akan disiap segera dan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu ini.

“Kita mahu melihat kesan sebab kejadian (kepala air) itu juga beri iktibar kepada seluruh negeri, bukan hanya di Slim River,” katanya.

Pada Jumaat lalu, muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting di Ulu Slim pecah menyebabkan kejadian kepala air yang mengakibatkan 175 mangsa terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS), di samping 21 orang terperangkap di Taman Eko RISDA sebelum berjaya diselamatkan bomba pada keesokan harinya.

Kejadian kepala air itu turut mengakibatkan Jambatan Lama Sungai Slim yang menjadi saksi pertempuran antara tentera Jepun dan British pada 1942 hingga mendapat jolokan jambatan ‘Battle of Slim’ runtuh akibat tidak dapat menahan tekanan daripada kayu-kayu yang hanyut bersama aliran air banjir.

Kejadian terbabit turut mengakibatkan Jambatan Kampung Pasir dan Jambatan Kampung Sungai Muda runtuh.-BH Online