Kuching: Kerjasama yang baik antara jemaah menteri, kerajaan negeri dengan penjawat awam mengukuhkan lagi keupayaan Kerajaan Perpaduan dalam memulihkan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika Kerajaan Perpaduan mula ditubuhkan pada November 2022, kerajaan menghadapi cabaran besar berikutan ekonomi yang tidak menentu.
“Kita juga menghadapi kekangan hutang yang besar menyebabkan ekonomi terumbang-ambing.
“Namun saya bersyukur kerana dengan kekuatan semua pihak terutama pasukan jemaah menteri serta kerajaan negeri dan jentera penjawat awam, sekarang kita menyaksikan jumlah pelaburan sangat tinggi masuk ke negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada upacara penutupan Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, malam ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, berikutan keyakinan pelabur terhadap Malaysia semakin kukuh dan ia terbukti dengan pengumuman Amazon Web Services (AWS) membuat pelaburan jangka panjang berjumlah RM29.2 bilion di negara ini.
“Ini adalah bukti keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan kerajaan dan dasar ekonomi kita.
“Kita menjadi pusat industri dan pelaburan seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor malah sekarang Sarawak pula muncul sebagai gergasi ekonomi yang meyakinkan,” katanya.-Harian Metro Online