Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan dakwaan kononnya kawasan tanah rizab Melayu di negeri ini semakin berkurangan.

Beliau berkata, dakwaan dibuat menerusi satu hantaran di laman TikTok itu tidak lebih sekadar fitnah dan permainan persepsi negatif untuk memburukkan kerajaan negeri.

“Saya ingin menegaskan bahawa kawasan tanah rizab Melayu di Pahang sejak 1955 sehingga 2023 semakin bertambah daripada 218,326 hektar kepada 444,074 hektar, berbanding keluasan negeri Pahang iaitu 3,597,206.68 hektar iaitu pertambahan daripada enam peratus kepada 12.34 peratus.

“Oleh itu, saya nafikan sekeras-kerasnya hantaran tersebut dan ia satu fitnah dan permainan persepsi negatif untuk memburukkan kerajaan negeri,” katanya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sentiasa memastikan tanah rizab Melayu terus dipertahankan akan melaksanakan penguatkuasaan bagi menghalang sebarang aktiviti pencerobohan tanah secara haram di atas tanah kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dan menyemak kesahihan terlebih dahulu dengan pihak berwajib.-BH Online