Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: UMNO akan terus menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 tetapi tidak menolak kemungkinan untuk terus bekerjasama dengan 18 parti dalam Kerajaan Perpaduan selepas pilihan raya itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan mengekalkan penggunaan logo BN itu seiring dengan kehendak serta saranan ahli dan kepimpinan akar umbi. null

“Dalam tempoh tidak lebih tiga tahun, kita akan hadapi PRU ke-16. Saya setuju dengan pandangan rakan kepimpinan dan ahli di akar umbi bahawa dalam PRU akan datang, kita harus tetap menggunakan lambang dacing, lambang Barisan Nasional (BN).

“Namun kita tidak menolak kolaborasi dengan 18 parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak berlaku pertindihan dan terdapat kerjasama dalam menggamit sokongan pengundi. 

“Ini mesti dilakukan sekarang kerana kita tak mahu keserasian hanya diwujudkan hanya ketika PRU, sebaliknya ia mesti dibina bermula sekarang,” katanya pada sidang media selepas selesai taklimat tertutup Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, penggunaan logo BN dan kerjasama 18 parti itu antara lima intipati ucapan disampaikan beliau kepada lebih 2,500 pemimpin akar umbi yang hadir pada PAU petang ini.

Turut hadir pada sidang media itu, Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Naib-Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani. 

Pengerusi BN itu berkata, penggunaan logo dan kerjasama 18 parti berkenaan adalah antara lima intipati ucapan beliau kepada lebih 3,500 pemimpin akar umbi yang hadir pada taklimat tertutup itu.

Intipati lain kata beliau, UMNO mahu pendekatan yang berbeza dan mengikut landskap politik tempatan dalam penyertaannya di Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN), mahupun PRU.

“Jika ada PRK atau PRN atau PRU sekalipun, pendekatan yang digunakan mesti berbeza mengikut landskap politik setempat, ini perlu disesuaikan. 

“Kita mahu supaya kepimpinan UMNO semua peringkat ambil ibrah (pengajaran) daripada kemenangan di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, di mana kerusi yang kita kalah sudah dapat ditebus semula,” katanya.

Katanya, kemenangan di PRK berkenaan jelas memberi pengajaran, biarpun parti itu adalah pembangkang di Kelantan, jika struktur dan strategi berkesan digunakan, kemenangan pasti dapat dicapai. 

“Jika ada telahan bahawa UMNO ini tidak lagi relevan atau pun ditolak oleh orang Melayu, jelas ini (keputusan PRK DUN Nenggiri) satu nada baharu dalam perjuangan kepimpinan UMNO di semua peringkat.

“Jika semua pihak bersatu hati menyusun dan menstrukturkan strategi sebaiknya dan berusaha bersungguh-sungguh, insya-Allah kejayaan akan pasti memihak kita sebagaimana yang berlaku di (PRK DUN) Nenggiri,” katanya.

Beliau berkata, dalam ucapannya juga, UMNO merasakan pengisian mengenai agenda ummah perlu terus diterjemahkan, tanpa mengenepikan kumpulan etnik dan agama lain.

“Sebagai sebuah parti rumpun Melayu, kita terjemahkan agenda kita ini tanpa ketepikan kumpulan etnik atau kaum, agama, budaya dan bahasa lain. 

“Sebaliknya dalam kita memperjuangkan agenda ini, kita berusaha menyantuni kaum lain dan ia mesti berjalan secara ‘authentic’,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, PAU 2024 yang membuka tirai hari ini mahu menyampaikan mesej kesungguhan tujuh menteri dan enam timbalan menteri dari UMNO untuk terus membawa suara rakyat dalam kerajaan.

“Soal prestasi kepada kerajaan di mana tujuh menteri UMNO dan enam timbalan menteri UMNO sudah tunjukkan prestasi terbaik. Ini terpapar dalam ‘bill board’ di sekitar Dewan Merdeka dan di luar Dewan Merdeka. 

“Bukan untuk membangga diri atau angkuh, tapi sekadar menjelaskan kepada perwakilan dan pemerhati dalam PAU kali ini, bahawa kami bertujuh (menteri) dan enam (timbalan menteri) ini, apabila diberi amanah dan tanggungjawab, kita laksanakan sepenuhnya demi rakyat Malaysia dan perjuangan parti,” katanya.