Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Portal Fraud Kebangsaan (NFP) yang dilancarkan hari ini dilihat mampu melonjakkan strategi negara bagi memerangi penipuan dalam talian, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, dengan adanya portal berkenaan akan mengubah proses Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang sebelum ini dikendalikan secara manual dan banyak memakan masa. 

Katanya, portal itu adalah peneraju platform automasi di rantau ini, menyediakan akses selamat kepada pangkalan data penting untuk menyokong pencegahan penipuan, serta memberi ahli NSRC keupayaan dinamik untuk mengesan dan mencegah aktiviti penipuan. 

“Portal ini akan mengintegrasikan data transaksi kewangan dari pelbagai sumber untuk mengesan transaksi mencurigakan secara automatik dan memudahkan pengesahan oleh institusi terbabit.

“Automasi ini mempercepatkan tindakan, mengurangkan masa pengesanan penipuan, dan mencegah kerugian lanjut,” katanya pada Majlis Pelancaran NFP di sini, hari ini.

Portal berkenaan dilancarkan Bank Negara Malaysia (BNM), Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), dan institusi kewangan sebagai platform bersepadu bagi memperkukuh keupayaan operasi NSRC. 

Hadir sama, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Amir Hamzah berkata, tindak balas pantas adalah teras untuk menghalang dana yang dicuri daripada dikeluarkan dari sistem kewangan, justeru meningkatkan kemungkinan pemulangan. 

Beliau berkata, sejak peringkat rintis, NFP telah mengurangkan masa menjejaki transaksi penipuan hingga 75 peratus, dan meningkatkan jumlah purata bulanan dana dibekukan oleh institusi kewangan sebanyak 28 peratus atau RM4 juta.

Katanya, dengan penyertaan 16 institusi kewangan, manfaat portal itu dijangka terus meningkat, seiring dengan penambahbaikan berterusan dan lebih banyak penyertaan institusi kewangan.

NFP mengautomasikan proses NSRC secara keseluruhan daripada pengendalian laporan penipuan sehingga kepada pengesanan dana yang dicuri.

Platform bersepadu itu membolehkan pengesanan dan pemulihan dana secara automatik dengan institusi kewangan dapat menjejak dana yang dicuri merentasi sistem kewangan secara menyeluruh dengan pantas melalui pengesanan automatik. 

Proses itu dapat menghalang pemindahan selanjutnya dan meningkatkan kebarangkalian dana dapat dikembalikan.

NFP juga membolehkan perkongsian maklumat dan kerjasama industri yang lebih berkesan dengan institusi kewangan dapat berkongsi maklumat dan risikan mengenai kejadian penipuan dengan lebih berkesan.

Seterusnya, portal itu juga dapat membuat penilaian akaun keldai berasaskan data, dengan NFP disokong oleh data akaun keldai yang berwibawa yang dapat memudahkan proses pengenalpastian, penilaian dan pemantauan akaun keldai dengan lebih baik.-BH Online